Sebenarnya ramai kanak-kanak lambat dikesan mempunyai masalah autisme tanpa pemantauan keluarga terdekat seperti ibu bapa atau penjaga mereka. Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan seseorang kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial serta tingkah laku. Nama autisma itu sendiri berasal dari perkataan Greek autos yang membawa maksud ‘sendiri’ dan menurut Bleuler, autisma membawa maksud ‘melarikan diri dari realiti’.
Menurut Garis Panduan Klinikal Pengurusan Autisma Malaysia, satu kajian menggunakan MHCAT (Mental Health Computerized Adaptive Testing) di kalangan kanak-kanak di antara usia 18 hingga 36 bulan di klinik kesihatan Ibu & Anak-Anak Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan kelaziman ASD di Malaysia adalah kira-kira 1.6 dalam 1000 kanak-kanak. Kajian juga menunjukkan bahawa autisma adalah empat hingga lima kali lebih biasa di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Penyakit autisma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan sosial.
Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa faktor risiko untuk autisma. Di antaranya ialah usia ibu dan bapa yang meningkat, masalah lahir pra matang (< 33 minggu), masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, masalah fungsi otak terganggu seperti jangkitan, masalah semasa kehamilan atau kelahiran dan faktor genetik iaitu sejarah autisma dalam keluarga.
Ciri- ciri Autisma
- Kemahiran sosial – interaksi sosial / pemahaman
- Hubungan sosial sangat terhad: Tidak boleh berkawan atau tidak bermain dengan orang lain
- Tiada hubungan mata atau terhad
- Tidak melihat objek atau peristiwa yang dilihat ibu bapa atau ditunjuk kepada mereka
- Tidak menunjuk kepada objek atau peristiwa kepada ibu bapa untuk melihat mereka
- Tidak suka dibelai atau dipeluk dan tidak mahu diperlakukan sedemikian
- Kesukaran dengan memahami isyarat sosial
- Ketawa atau senyum tidak sesuai dengan keadaan
- Tidak menunjukkan minat
- Hanya menyertai kumpulan bila dibantu atau didesak
Rawatan
Terdapat pelbagai jenis rawatan yang secara amnya boleh dibahagikan kepada kategori berikut:
Pendekatan Kelakuan dan Komunikasi
Terapi Carakerja
Terapi carakerja mengajar kemahiran yang membantu individu hidup berdikari sebanyak yang mungkin. Kemahiran termasuk berpakaian, makan, mandi , dan yang berkaitan dengan komuniti.
Terapi Integrasi Deria
Terapi integrasi deria banyak membantu individu dengan maklumat deria, seperti pemandangan, bunyi, dan bau. Terapi integrasi deria boleh membantu kanak-kanak yang terganggu oleh bunyi-bunyi atau tidak suka disentuh.
Terapi Pertuturan
Terapi pertuturan membantu meningkatkan kemahiran komunikasi individu. Sesetengah individu dapat mempelajari kemahiran komunikasi lisan. Bagi orang lain, menggunakan gerak isyarat atau papan gambar adalah lebih realistik .
Terapi tingkah laku dan komunikasi direka untuk membetulkan gejala tertentu dan boleh membawa peningkatan besar. Kebanyakan profesional kesihatan bersetuju bahawa lebih awal intervensi dilakukan, lebih baik keputusannya.
Ubatan
Tiada ubat yang boleh menyembuhkan ASD. Tetapi ada ubat yang boleh membantu sesetengah individu dengan gejala-gejala yang berkaitan. Sebagai contoh, ubat mungkin membantu menguruskan masalah hiperaktif, masalah tidak mampu fokus, kemurungan atau sawan.
No comments:
Post a Comment